Saturday, 10 May 2014

Ringgit Mengintai Di Bawah Teduhan Pohon Kelapa Bali



Dicelah-celah pohon bali yang tegap dan menghijau ribuan bebek putih gebu berehat di bawah teduhan pohon bali. 

Bebek diusahakan secara komersial oleh empat orang lelaki dan dibantu oleh tiga orang pekerja.  Mereka menggabungkan tenaga, fkiran dan modal untuk menternak bebek secara besar-besaran Modal berbayar  sebanyak R80 000.00 dilaburkan untuk  projek ini.  Ianya diletakkan di bawah kelolaan 'Bebek Resources'


Ladang bebek di Labu Besar,Kulim,Kedah.


Bebek yang dihasil diladang ini menggunakan makanan yang formulanya dihasilkan oleh  'Bebek Holding'. Anti-biotik jarang digunakan. Vaksin juga tidak  digunakan.  Menurut  A.Wahab setakat ini  formula yang  digunakan  mendapatkan  hasil  yang memuaskan.Kata peribahasa Melayu, sambang penuh jala  terletak, laut kering ikan mengempas.





Daging bebek dijual secara  borong dan runcit. Kedai  makanan di sekitar  Kulim dan juga  ada sampai Tawar yang  memesan bebek  daripada mereka.  Mereka menghantar sendiri  bebek yang sudah diproses.





Sangkar bebek.

Biasanya bebek akan ditangkap pada pukul  2.00 pagi kerana  hawa  pada masa  itu sejuk dan dimasukkan ke  dalam sangkar.  Ini bertujuan  untuk  mengelakkan bebek daripada terdedah dan terkena panas matahari  yang  kuat. Biasanya bebek akan  disembelih pada awal pagi  dan diproses sebelum dijual.




Encik Rodi pengurus ladang menunjukkan  cara  'melayur'  bebek selepas dicabut bulu kasar. Yang dilayur ialah bulu halus atau disebut  'bulu pahat'

Ladang bebek yang berusia 2 tahun  itu  menyediakan 6 petak ataupun rungan untuk bebek  yang  sudah dewasa.  Setiap petak  boleh  menampung 1740 ekor  bebek. Bebek yang sudah berusia  38 hari  ke atas  sudah  boleh  dijual. Bebek dijual setiap minggu dengan  menggunakan lori yang  tidak melebihi 5 tan.


Oleh  Shakir  Taha

Tuesday, 6 May 2014

Rezekinya Menguntum Dari Pohon Hijau

Beliau bercita-cita mahu membuka ladang herba seperti di Johor,ladang herba Nasuha.Tapi buat masa ini anak kelahiran Terung,Perak belum lagi ke arah itu.

Kini beliau masih berkhidmat di sebuah syarikat swasta sebagai akauntan di Pulau Pinang. Masa yang terluang banyak dihabiskan di ladang dan membuat kerja amal bersama NGO Wargakilang.


Ladang seluas suku ekar diberi nama 'Guar Perahu Herbal Berry Fig Valley' terletak di bahagian belakang Taman Guar Perahu, tidak jauh dari Pekan Penanti. Ladang ini menurut  pemiliknya, Encik Shukri lebih merupakan suatu 'experiment'.

Di sini beliau dibantu oleh 3 orang pekerja sepenuh masa.Pekerja disediakan tempat tinggal percuma.Kebiasaannya pekerja ini menyediakan makanan mereka sendiri.

Encik Shukri menanam pohon herba untuk tujuan komersial dan memelihara pokok yang jarang ditanam oleh peladang lain. Tujuannya supaya pokok-pokok herba ini tidak pupus. Menurut Encik Shukri pokok-pokok ini mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan patut dipelihara.

Di tepi-tepi ladangnya dibuat kolam kecil. Kolam yang dibuat daripada simen dipelihara ikan keli. Ikan ini dipelihara sebagai hiasan  ladang sahaja.Bila besar disedekahkan kepada kawan-kawan dan untuk makanan keluarga.

Pokok Belalai Gajah yang ditanam tumbuh dengan subur di sini. Pokok ini dipercayai boleh membantu pesakit kanser atau kanser payu dara.

Selagi daripada itu pohon anggor dan tin juga hidup dengan subur di sini. Pohon-pohon di sini hidup menghijau berkat kegunaan baja organik yang dibuat sendiri. Encik Shukri langsung tidak menggunakan baja kimia.



Pohon-pohon yang ditanam lebih kepada herba.Ianya dibekal kepada pembeli jauh dan dekat.Dalam hal ini beliau dibantu oleh isterinya yang pengalaman yang luas dalam bidang pemasaran.


Seperti kata peribahasa Melayu,menjemur sementara hari panas.Dalam usia 42 tahun beliau mampu memberikan masa dan tenaga di ladang.

Beliau tidak lupa kepada pesan orang tua dahulu,"sediakan payung sebelum hujan'.Menyedari bekerja di syarikat swasta masa depannya yang tidak menentu,beliau telah membeli sebuah kedai di Taman Guar Perahu.Beliau menjadi pembekal bahan-herba herba untuk tujuan perubatan.

Beliau mempunyai syarikat sendiri yang bernama 'EES BIOTECH  SDN BHD'.Syarikat ini diuruskan oleh isterinya.Beliau sendiri terlibat dalam perakaunan.

Hujan petang yang menyirami ladangnya sudah berhenti.Senja sudah dekat.Lampu-lampu di tepi jalan sudah  mengeluarkan  cahayanya yang nanti  pasti bertengkar dengan malam. Aku meminta diri dan terus meninggalkan ladang yang permai dan menghijau ini. Semoga kawasan ini juga akan terus menghijau.


Oleh Shakir  Taha